Pengenalan

Komuniti Sungai Petani merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi. Ditubuhkan dengan matlamat untuk menyediakan pendidikan teknikal dan latihan kemahiran kepada masyarakat setempat, kolej ini berperanan penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri serta menyokong pembangunan komuniti

Terletak di Sungai Petani, Kedah, kolej ini menawarkan 6 program sepenuh masa iaitu Sijil Teknologi Automotif, Sijil Kulinari, Sijil Operasi Perhotelan, Sijil Terapi Kecantikan dan SPA, Sijil Khas Pastri dan Diploma Terapi Kecantikan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kolej Komuniti Sungai Petani turut menawarkan kursus pendek yang direka khas untuk komuniti setempat, termasuk golongan belia, suri rumah, dan warga emas. Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan praktikal dan hands-on, pelajar diberi peluang untuk memperoleh kemahiran yang relevan serta berdaya saing di pasaran kerja

 

Dengan kemudahan yang selesa, tenaga pengajar berpengalaman, dan hubungan rapat dengan pihak industri, Kolej Komuniti Sungai Petani terus komited dalam usaha meningkatkan taraf pendidikandan kemahiran masyarakat, sejajar dengan aspirasi negara ke arah Malaysia Madani dan negara berpendapatan tinggi.


Sejarah Penubuhan


Kolej Komuniti Sungai Petani telah mula beroperasi sejak  Mac 2002. Kolej Komuniti Sungai Petani merupakan sebuah institusi pendidikan kerajaan di bawah Bahagian Pengurusan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Pengambilan pelajar pertama oleh Kolej Komuniti Sungai Petani dibuat pada Julai 2002 melibatkan  kursus Sijil Hotel dan Katering. Pengambilan pelajar pada sesi Julai 2003 pula menawarkan Sijil Hotel dan Katering dan Sijil Automotif.

Pada Tahun 2004 Kolej Komuniti Sungai Petani menawarkan Sijil Kecantikan dan Dandanan Rambut. Selain kursus sepenuh masa, kolej ini  juga menawarkan pelbagai program kursus pendek yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat setempat bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan kualiti kerja peserta kursus pendek terbabit.

Kolej Komuniti Sungai Petani kemudiannya meluaskan sayapnya dengan membuka Kampus Cawangan Baling dan penubuhan Kampus Cawangan Jeli di atas permintaan Menteri Pengajian Tinggi jelas membuktikan betapa kolej ini sentiasa bergerak maju ke hadapan dalam menyampaikan ilmu dan mempertingkatkan kemahiran bagi penduduk setempatnya. Bagi kedua-dua cawangan ini,  kolej ini menawarkan Sijil Bakeri dan Konfeksionari dan Sijil Fesyen Pakaian untuk kursus sepenuh masa dan memperbanyakkan kursus pendek bagi masyarakat Baling dan Jeli, Kelantan.