
Perutusan Pengarah
TUAN HAJI MOHD YUSAINI BIN MOHAMED ALI
PENGARAH KOLEJ KOMUNITI SUNGAI PETANI
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Bagi pihak seluruh warga Kolej Komuniti Sungai Petani, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua ke Laman Portal Rasmi ini. Laman Portal ini dilancarkan dengan tujuan mempermudahkan masyarakat mengenali Kolej Komuniti Sungai Petani terutamanya kepada mereka yang berminat menjadi warga kolej ini sebagai pelajar. Kewujudan kolej ini amat bertepatan sekali dengan hasrat kerajaan untuk melihat lebih banyak pusat pendidikan tinggi diwujudkan bagi memenuhi keperluan tenaga mahir pada masa kini.
Justeru itu, kewujudannya adalah sebagai suatu pemangkin kepada hasrat pendidikan negara dan seterusnya melahirkan lebih banyak golongan berkemahiran tinggi sebagai warganegara yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Sebagai sebuah pusat pendidikan awam, Kolej Komuniti Sungai Petani akan berusaha menyediakan segala kemudahan dan keperluan untuk generasi muda mendalami ilmu dan menimba pengalaman.
Kami di Kolej Komuniti Sungai Petani bertekad untuk merealisasikan kecemerlangan dalam segenap bidang dan disiplin ilmu yang ditawarkan dengan menerapkan nilai-nilai murni melalui pendidikan berkualiti dan melahirkan intelek berwawasan. Saya selaku Pengarah di Kolej Komuniti Sungai Petani ini berharap agar laman portal ini dapat memberi gambaran yang jelas kepada sesiapa sahaja yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Kolej Komuniti Sungai Petani.